Tahap Pertama - Dakwah Secara Rahsia
Tiga tahun berdakwah secara rahsia.
Seperti yang diketahui, Makkah merupakan pusat agama bangsa Arab dan kecergasannya, pegawai dan pengumpul agama bertempat di Kota Makkah. Mereka juga penyelia dan pengawal, berhala-berhala seluruh bangsa Arab di masa itu, untuk sampai kepada sasaran pengislahan amat sukar sekiranya jauh dari Makkah itu sendiri, kerja ini memerlukan kepada kecekalan hati dan ketabahan yang tidak boleh digugat oleh dugaan dan bencana.
Adalah bijak dan hikmah dakwah di masa ini secara rahsia, supaya tidak mengejutkan penduduk Makkah dengan suatu yang boleh membangkitkan kemarahan mereka.
GENERASI PERTAMA
Suatu hal yang biasa dan tabi'i di mana Rasulullah cuba memperkenalkan Islam untuk kali pertama kepada orang-orang yang terdekat dengan Baginda, keluarga dan kawan-kawan Baginda. Mereka inilah yang paling awal didakwahkan, didakwahkan juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan mereka, dikenali mereka sebagai golongan mencintai kebenaran dan kebaikan dan sebaliknya mereka pula mengenal Rasulullah sebagai individu yang mengutamakan kebenaran dan kebaikan. Antara mereka memang ada yang menyahut seruan Baginda itu tanpa meragui sesuatu pun mengenai peribadi Rasulullah dan mengenal maksud dan tujuan Rasulullah berdakwah dengan risalahnya itu, golongan ini dikenal dalam sejarah Islam sebagai generasi al-Sabiqun al-Awwalun. Mereka ini terdiri dari isteri Baginda Saidah Khadijah r.anha, Ummu al-Mukminin sebagai orang yang terawal menganut Islam. Orang suruhannya Zaid bin Harithah bin Syurahbil al-Kalabi, anak saudaranya Ali Ibni Abu Talib yang masih kanak-kanak lagi, di bawahjagaan Rasulullah, kawannya yang terdekat Abu Bakr al-Siddiq, kesemua mereka ini mengucap Kalimah Syahadah di hari pertama Rasulullah memperkenalkan dakwahnya.
Abu Bakr menyusul pula sebagai penggerak dan pendakwah yang aktif, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Anggota kaumnya sentiasa mendatangi beliau dan berdamping dengannya, kerana ilmu pengetahuan, perniagaan dan mulia pergaulannya. Beliau bertugas mengajak orang yang dipercayai yang sentiasa berhubungan dengannya, mereka itu seperti Uthman bin Affan al-Umawi, al-Zubair bin al-Awam al-Usdi, Abdul Rahman bin Auf al-Zuhri, Sa'd Ibn Abi Waqqas al-Zuhri dan Talhah bin Abdullah al-Tayyimi. Mereka ini seramai lapan orang adalah generasi peneroka dan terawal menganut Islam.
Di antara yang terawal juga ialah, Bilal bin Rabah al-Habsyi, kemudian disusuli pula oleh Amin al-Ummah orang kepercayaan umat iaitu Abu Ubaidah 'Amir bin al-Jarah dari Bani al-Harith bin Fihr, Abu Salamah bin Abdul al-Asad al-Makhzumi, al-Arqam bin Abu al-Arqam al-Makhuzmi, Uthman bin Maz'un dan dua saudaranya Qudamah dan Abdullah, Ubaidah bin al-Harith bin al-Mutalib bin Abdul Manaf, Said bin Zaid al-Adawi al-Urus dan isterinya Fatimah bin al-Khattab al-Adwiah adik perempuan Umar Ibni al-Khatab, Khabbab bin al-Arat, Abdullah bin Mas'ud al-Huzali dan ramai lagi selain mereka ini, mereka adalah dianggap sebagai lapisan terawal menganut Islam al-Sabiqun al-Awwalun. Mereka ini dari seluruh keturunan Quraisy, Ibnu Hisham telah menghitung mereka seramai empat puloh orang. Menyebut sebahagian mereka sebagai golongan al-Sabiqun al-Awwalun sekadar sepintas lalu. Ibn Ishak telah menyebut: Kemudian maka masuklah bilangan yang ramai ke dalam Islam bertali arus tidak putus-putus menyebabkan keriuhan di Kota Makkah dan diperkatakan orang.
Namun kesemua mereka ini memeluk Islam secara rahsia, Rasulullah terus membuat pertemuan dengan mereka member! pertunjuk kepada mereka mengenai hal agama secara bersembunyi, kerana dakwah masih lagi dalam bentuk individu dan rahsia. Wahyu turun tanpa putus-putus lagi, iaitu selepas terturunnya awalan surah al-Muddasir, bahagian-bahagian surah yang turun di masa-masa ini merupakan ayat-ayat yang pendek-pendek, struktur ayatnya indah dan kemas, rentak-rentaknya adalah lembut, seni susunannya sesuai dengan tuntutan suasana yang damai, bertemakan pembersihanjiwa dan mengecam kerja-kerja pencemaran diri dengan noda-noda dunia. Mengambarkan keindahan syurga dan keburukan neraka bagaikan tertera di hadapan mata kepala, membimbing manusia mukmin dalam satu suasana yang berbeza dari suasana masyarakat manusia di ketika itu.
SOLAT
Perintah yang terawal sekali diturunkan ialah solat, Muqatil bin Sulaiman telah menyebut: Allah Subhanahu Wa Taala telah memfardukan solat di permulaan Islam dengan dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di malam hari, berdasarkan firman Allah:
"Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu di waktu malam dan di waktu pagi".
(al-Mu'min: 55)
Ibn Hajar telah berkata: Dengan jelas Rasulullah sebelum Isra' bersembahyang, demikianjuga para sahabat Baginda, cuma yang diikhtilafkan apakah difardhukan solat-solat yang dilakukan sebelum kefardhuan solat lima waktu itu, atau apakah ianya bukan fardhu? Ada pendapat mengatakan yang difardhukan itu ialah solat sebelum naik matahari dan sebelum terbenamnya. Al-Harith bin Usamah katanya: Bahawa Rasulullah (s.a.w) dipermulaan penurunan wahyu, Baginda telah didatangi Jibril (a.s), beliau mengajar Baginda cara berwudhuk setelah selesai berwudhuk diambilnya air secebok, maka dibasuh kemaluannya, Ibnu Majah meriwayat hadith yang sama dengannya, juga hadith yang diriwayat dari al-Bara' bin al 'Azib dan Ibnu Abbas, dan tersebut di dalam hadith Ibn Abbas yang bermaksud:
- "am adalah dipermulaan fardhu solat"
Ibnu Hisham menyebut bahawa Rasulullah (s.a.w) dan para sahabat Baginda, mereka semua apabila tibanya waktu solat, mereka keluar ke lorong tertentu untuk menunaikan solat, bersembunyi dari kaum mereka, di suatu ketika Abu Talib pernah ternampak Rasulullah dan Saidina Ali sedarig bersembahyang lalu beliau menanyakan kepada mereka berdua, mengenai sembahyang yang mereka lakukan itu, bila beliau memastikan jelas amal ibadat ini, beliau menyuruh mereka beristiqamah dengannya.
MAKLUMAT TELAH SAMPAI KE PENGETAHUAN QURAISY.
Setelah dilihat dari berbagai aspek yang berlainan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku, nampaknya dakwah di dalam tahap ini, meskipun bersifat rahsia dan individu namun beritanya sudah pun tersibar kepengetahuan Quraisy, tetapi ianya tidak dipedulikan sangat.
Al-Syeikh Muhammad al-Ghazali r.a. menyebut: Berita dakwah Rasulullah ini telahpun sampai ke pengetahuan Quraisy, tetapi mereka tidak mengambil endah sangat. Kemungkinan pihak Quraisy menyangka Muhammad ini salah seorang jenis manusia yang kuat beragama, yang bercakap mengenai ketuhanan dan tugasnya, amalan seperti ini sama seperti amalan Umaiyah bin Abi al-Salt, Quis bin Sa'idah, Amru bin Nufail dan lain-lain lagi, walau macam mana sekalipun pihak Quraisy tetap mencurigai kesannya. Oleh itu mereka memerhati hari demi hari, perkembangan lanjut dan kesudahan dakwahnya ini.
Berlalu tiga tahun dakwah Rasulullah, ianya masih lagi rahsia dan dalam konteks individu. Apa yang berlaku ialah tertegaknya sebuah jamaah golongan mukmin yang bertunggakkan persaudaraan dan sanggup tolong menolong, bekerja menyampaikan risalah Muhammad dan mengemaskan tapak perjuangannya. Namun selepas tiga tahun kini Rasulullah diminta supaya mengisytiharkan dakwahnya kepada kaumnya dan menghadapi kepalsuan mereka, menentang serta mengecam berhala-berhala mereka.
| < Prev | Next > |
|---|







