Oleh kerana mereka ini tidak berhimpun di suatu perkampungan yang satu, atau di dalam satu bandar tersendiri atau dalam kubu-kubu, maka dikira sukar untuk menakluki dan menguasai mereka atau untuk menghalang kenakalan-kenakalan mereka sepenuhnya, seperti tindakan Baginda terhadap penduduk Makkah dan Khaibar. Sebab itu maka peperangan tidak memberi kesan sangat selain dari serangan dalam bentuk mengugut, mengancam dan mengajar mereka, Yang demikian itulah, maka tentera Islam berulang kali membuat serangan seperti ini. Sebagai mematah sebarang percubaan mereka yang sering berkumpul di pinggiran al-Madinah untuk merompak dan menyamun maka sering pula Rasulullah.memburu mereka dalam gerakan-gerakan mengugut dan mengajar mereka yang dikenali sebagai Gazwah Zat al-Riqa'.
Keseluruhan ahli al-Sirah menyebut bahawa kejadian Zai al-Riqa' ini berlaku di tahun keempat (4) Hijrah, tetapi penyertaan Abu Musa al-Asy'ari dan Abu Hurairah menunjukkan peristiwa ini terjadi selepas peperangan Khaibar. Paling munasabah kejadian Zat al-Riqa' ini terjadi di bulan Rabiulawal tahun ke tujuh (7) Hijrah. Ringkasannya seperti yang disebutkan oleh ahli al- Sirah, faktor terjadi Zat al-Riqa' ini ialah satu laporan telah diterima oleh Rasulullah mengenai perhimpunan Banu Anmar atau Banu Tha'labah dan Banu Muharib dari suku Ghatafan. Di mana Rasulullah pun segera keluar untuk berhadapan dengan mereka di sana dengan kekuatan seramai empat ratus (400) atau tujuh ratus (700) orang para sahabat Rasulullah mara ke sana hingga memasuki pendalaman kediaman qabilah-qabilah berkenaan, terus bergerak hingga ke suatu tempat yang dikenali sebagai "Nakhal" kira-kira dua hari perjalanan dari al-Madinah, di sana Baginda bertemu dengan sekumpulan dari orang-orang Banu Ghatafan dan tidak berlaku sebarang peperangan pun malah dimeteraikan permuafakatan, di situ Rasulullah (s.a.w) menunaikan solat al-Khauf, Rasulullah (s.a.w) melantik Abu Zar atau Uthman bin Affan sebagai Amir di Madinah semasa ketiadaan Baginda. Di dalam al-Bukhari sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari (r.a) berbunyi: "Kami telah keluar bersama-sama Rasulullah (s.a.w), kami berenam orang bergilir-gilir menunggangi seekor unta, kaki-kaki kami pecah-pecah, kaki ku sendiri pecah-pecah, malah kuku jariku tercabut menyebabkan kami terpaksa membungkusnya dengan perca-perca kain, maka sebab itu dinamakan gerakan ini dengan Zat al-Riqa', iaitu kerana kami membalut kaki- kaki kami dengan perca-perca kain".
Di dalam satu riwayat dari Jabir dengan katanya: "Di suatu masa ketika kami bersama-sama Rasulullah di dalam peperangan Zat al-Riqa', kejadian berlaku sewaktu kami semua tiba di sepohon kayu yang rendang, untuk berteduh di bawahnya, Rasulullah turun berteduh dan orang lain berpecah mengambil teduhan masing-masing, semasa Baginda berehat di situ pedangnya digantung di dahan pokok berkenaan, sambung Jabir: Kami semua tertidur, tiba-tiba seorang lelaki musyrikin muncul serta merampas pedang Rasulullah dan menghunusnya ke arah Rasulullah sambil berkata: Adakah kamu takutkan aku? Jawab Rasulullah (s.a.w): Tidak. Kemudian tanya beliau lagi: Sekarang siapa yang boleh menghalang kau dari ku? Jawab Rasulullah: Allah. Kata Jabir lagi: Tiba-tiba Rasulullah memanggil kami semua, kami semua pun datang kepadanya, sedang seorang Arab Badwi duduk di sisinya. Kata Rasulullah:
Orang ini telah merampas pedangku semasa ku sedang tidur, bila ku terjaga ku dapati pedang ku ini sudah terhunus ke dadaku dan beliau bertanyaku: Siapa yang boleh menghalang kau dari ku? Ku kata: Allah , nah ini dia orangnya yang sedang duduk. Rasulullah tidak pun memarahi beliau Dalam satu riwayat yang lain oleh Abu 'Uwanah katanya: Tiba-tiba pedang itu terjatuh dari tangannya lalu Rasulullah mencapainya dan berkata: Sekarang siapa yang boleh menghalang kau dari ku? Jawab Arabi Musyrik itu:
Jadilah kau seorang pengambil pedang yang terbaik. Tanya Rasulullah (s.a.w): Mahu kau ucapkan tiada Tuhan melainkan Allah dan aku ini Pesuruh Allah? Jawab Arabi: Aku berjanji tidak akan memerangi kau lagi, dan tidak akan bersama orang-orang yang memerangi ku. Sambung Abu Uwanah: Rasulullah (s.a.w) pun memberi jalan kepadanya,
setibanya beliau di kalangan kaumnya beliau menegas kepada mereka dengan katanya: Aku ini baru datang dari sisi seorang manusia yang termulia. Dalam satu riwayat al-Bukhari, Musaddad meriwayatkan hadith dari Abu Uwanah yang diambil dari Abu Bisyr yang berkata: Nama lelaki berkenaan ialah Ghurth bin al-Harith. Tetapi Ibnu Hajar memetik dari al- Waqidi, bahawa lelaki Arabi tersebut bernama Da'thur di mana akhirnya beliau telah memeluk Islam. Dari zahir kenyataan ini, ianya adalah dua kabilah di dalam dua peperangan yang berasingan. Waallahu A'lam.
Dalam satu riwayat yang lain menyebut: Di hari itu ditunaikan sembahyang di mana Rasulullah bersolat dengan sekumpulan kaum mukmin dua rakaat, kumpulan itu mengundur diri dan kemudian Rasulullah bersembahyang dengan kumpulan yang kedua dua rakaat, maka Rasulullah menunai solat empat rakaat secara jamaah manakala kaum mukmin, masing-masing dua rakaat berjamaah. Di dalam perjalanan kembali dari peperangan ini mereka telah menawan seorang wanita musyrikin, menyebabkan suaminya bersumpah dan menazarkan untuk tidak akan pulang kecuali setelah berjaya menumpaskan darah sahabat-sahabat Muhammad (s a.w). Beliau telah datang secara senyap-senyap di tengah malam, di malam itu Rasulullah (s.a.w) telah menugaskan dua orang mukmin membuat pengawalan terhadap musuh-musuh Islam, mereka berdua ialah Ubbad bin Bisyr dan Ammsr bin Yasir. Si suami yang bernazar telah memanah Ubbad yang sedang qiam bersembahyang malam, Ubbad mencabut anak panah yang menikam badannya itu tanpa membatalkan sembahyangnya, sekali lagi beliau dipanah, tiga anak panah menikam badannya, namun beliau tetap meneruskan solatnya itu hinggalah beliau selesai dengan salam, ketika itu Ubbad pun mengejut sahabatnya Ammar, sahabatnya merungut dengan katanya: Subhana Allah, kenapa tidak kejutkan daku? Kata Ubbad: Sebenarnya daku ditengah-tengah surah jadi ku tidak suka untuk berhenti di situ Peperangan ini telah memberi impak yang amat berkesan terhadap bangsa-bangsa Arab yang degil dan nakal di daerah itu, sekiranya kita perhatikan huraian lanjut sariyah-sariyah yang berlaku selepas peperangan Zat al- Riqa', kita dapati qabilah-qabilah dari kelompok Ghatafan sudah tidak berani mengangkat kepala lagi, malah ianya semakin berdiam diri dan menyerah kepada realiti dan akhirnya mereka menyerah diri kepada Rasulullah dengan memeluk Islam. Dengan itu kita dapati beberapa qabilah dari kelompok-kelompok ini telah turut serta bersama kaum muslimin semasa pembukaan Makkah, dan peperangan Hunain, turut mendapat harta-harta rampasan, di antara dermawan-dermawan mereka telahpun mengeluarkan sedekah-sedekahnya sekembali mereka dari pembukaan Makkah. Dengan ini patah sudah ketiga-tiga kuasa Barisan Bersatu. Maka bertebarlah panji-panji keimanan dan kesejahteraan di rantau ini. Sebagai natijahnya, umat Islam dapat memperbaiki kelemahan di beberapa kawasan yang biasanya menjadi sasaran serangan oleh qabilah-qabilah Arab. Dari sini bermulalah persiapan-persiapan untuk membuka negeri-negeri dan kerajaan-kerajaan besar, lantaran suasana dan keadaan dalam hegeri dengan perkembangan terbarunya berpihak kepada Islam dan umatnya. Sekembalinya Rasulullah dari peperangan ini, Baginda hanya menetap di Madinah hinggalah ke bulan Syawal tahun ke tujuh (7) Hijrah namun, di dalam tempoh ini Baginda telah menghantar beberapa unit sariyah ke beberapa daerah kisah lanjutnya seperti berikut:
1. Sariyah Ghalib bin Abdullah al-Laithi dihantar ke Banu al-Muluh di Qadid di bulan Safar atau Rabiulawal tahun ke tujuh (7) Hijrah, sebelurri ini mereka telah membunuh sahabat-sahabat Basyir bin Swaid, dikirim sariyah ini untuk menuntut bela di atas kematian para sahabat Basyir. Di malam hari tentera Islam membuat serangan hingga dapat membunuh sebilangan dari musuh seterusnya membawa kembali bersama mereka sebilangan unta-unta, tetapi tidak lama kemudian tentera Islam telah diburu oleh tentera musuh dengan bilangannya yang besar, dengan kehendak AUah sebaik sahaja mereka menghampiri kaum muslimin hujan turun dengan lebat menyebabkan banjir yang membawa arus deras hingga terhalang di antara dua kaum ini. Hal ini telah membawa kaum muslimin berjaya menyelamatkan diri.
2. Sariyah Husma di bulan Jamadilakhir tahun ke tujuh (7) Hijrah. Detailnya telah diperkatakan dalam tajuk "pengutusan kepada raja-raja ".
3. Sariyah Umar bin al-Khattab ke Turbah di bulan Syaaban tahun ke tujuh (7) Hijrah, beliau bergerak dengan tiga puluh orang di malam hari dan bersembunyi di siang hari, namun berita pergerakan mereka telah sampai kepada Hawazin dan ini menyebabkan mereka bertempiaran lari. Sesampainya Umar di sana didapati tempat kediaman mereka sudah lengang tiada penghuni lagi, justeru itu beliau kembali ke Madinah.
4. Sariyah Basyir bin Saad al-Ansari, dihantar ke kediaman Banu Murrah di daerah Fadak bersamaan bulan Syaaban tahun ketujuh (7) Hijrah. Dengan kekuatan tiga puluh (30) orang tentera, bila sampai ke sana beliau terus merampas biri-biri dan unta-unta mereka, namun di dalam perjalanan beliau telah dikejar, di mana berlaku pula panah memanah akhirnya Basyir kehabisan panah, menyebabkan seteru berjaya membunuh mereka kecuali Basyir yang telah sempat berlindung di Fadak. Di sana beliau tinggal bersama orang Yahudi dan telah memberi rawatan hingga sembuh luka-lukanya, kemudian beliau pulang ke Madinah.
5. Sariyah Ghalib bin Abdullah al-Laithi pada (7) tujuh Ramadhan tahun ke tujuh (7) Hijrah di hantar ke Banu 'Uwal dan Banu Abdu bin Tha'labah di al-Mayfa'ah atau ke al-Haraqat di kawasan Juhfiyah dengan kekuatan seramai seratus tiga puluh (130) orang askar. Tentera Islam terus menyerang ke atas qabilah berkenaan dan membunuh setiap yang menentang, kesudahannya tentera Islam telah dapat menawan unta-unta dan biri-biri. Apa yang terjadi di dalam peperangan ini di mana Usamah bin Zaid telah membunuh Mirdas bin Nuhaik, setelah beliau mengucap: "Lailaha ilahailla Allah". Sekembalinya mereka ke Madinah, Rasulullah menyoal Zaid: Apakah telah kau belah dadanya hingga dapat kau pastikan ianya benar atau berdusta?
| < Prev | Next > |
|---|







