Semalam, pakcik Azzam betul -
betul menghiburkan. Tidak seperti selalu. Selalunya, setiap kali selepas
mendengar kata - katanya, aku terasa seperti mahu jatuh sakit. Mahu demam,
muntah, pening - pening serta kebas - kebas seluruh badan. Tidak lain adalah kerana setiap kata - katanya benar - benar buat aku menjadi pemikir, setiap kali aku membuat kesimpulan, setiap kali itu juga seolah - olah ada bebanan sebesar gunung ganang menghempap tubuh ku hingga terasa mahu ranap lalu hancur semua.
Tapi semalam pak cik
seolah - olah mengerti yang aku sedang gundah.
“Mahu tahu kenapa Rasulullah tidak membuat markas latihan perang bagi
para sahabat?” Pakcik bertanya. Acuh tidak acuh saja reaksiku.
“Kerana itu bukan keperluan.”
Menurut pakcik, apa perlunya
melatih ilmu perang untuk orang – orang yang sudah sedia mahir dan ahli dalam
peperangan? Mereka semua adalah perajurit, dan senjata adalah sebahagian dari
hidup mereka. Begitu juga kuda, sehinggakan mereka ini tidak mengucapkan
selamat kecuali pada hari kelahiran anak atau kelahiran seekor kuda!
“Ada latihan yang Rasulullah
pernah buat, itu pun baginda buat pertandingan kuda – kuda kurus dengan kuda –
kuda yang tidak kurus.” Kuda tidak kurus? Kenapa tidak disebut kuda gemuk saja?
Fikirku, dan kemudian tersengih.
“Ternyata kuda – kuda kurus
dapat menempuh perjalanan yang lebih jauh berbanding kuda – kuda ‘gemuk’ “
Entah kenapa aku terasa geli hati dengan nadanya.
“Oh, ada lagi latihan yang
Rasulullah pernah buat. Rasulullah pernah beradu siapa berjalan lebih cepat
dengan ‘Aisyah.” Dan kali ini aku terasa lucunya semakin menjadi.
Pakcik diam sejenak seperti
berfikir. Kemudian dia meluahkan apa yang sedang difikirkannya. Rupanya, pakcik
membuat perbandingan. Tidak ada diantara sahabat yang mengalami masalah
obesiti, sebagaimana yang ada dikalangan kita. Tidak ada kata rehat dan santai
bagi mereka (sahabat) yang bukan setakat membunuh mental, juga turut sama
membunuh rohani dan jasmani. Tidak ada hal – hal itu pada mereka. Mereka makan
dua kali sehari, sekali setelah matahari naik, dan sekali lagi sebelum matahari
terbenam. “Shabuuh; adalah makanan yang mereka makan pada pagi hari, ghabuuq
pula makanan yang mereka makan pada petang hari.” Kemudian aku dengar dia
mengeluh dan berkata, “Nak buat macam mana, kita ni, tugas dan kewajipan yang
kita kena buat semakin banyak, kita dilanda kesibukan dan kita buat kerja jihad
lebih banyak dari mereka, jadinya sebab itulah waktu makan kita tambah satu
lagi jadi tiga kali sehari.” Tertangkap
nada sinis dalam kata – katanya, dan aku melihat ada simpul senyum pada raut
wajah pakcik.
“Tengok saja orang perempuan zaman sekarang. Bandingkan dengan
‘Aisyah!” Aku terpana, bagaimana mahu dibandingkan? Kemudian pakcik bercerita
tentang bagaimana ‘Aisyah dibawa di dalam tandu yang diletakkan dibelakang unta.
Sahabat sampai – sampai tidak tahu adakah ‘Aisyah ada dalam tandu atau tidak
menunjukkan betapa ringannya ‘Aisyah. “Adapun sekarang ni.... Alhamdulillah!
Kebanyakan wanita sungguh.... MasyaAllah!! Badannya seperti kenderaan lapis
baja.” Aku tertawa, walaupun aku tidak memahami apakah kenderaan lapis baja
itu, tapi sungguh, perumpamaan itu amat menarik perhatian. Bagi pakcik sebab
mereka jadi begitu adalah kerana mereka punya pembantu, tidak lagi menyusui
anak – anak, mereka tidak mencuci pakaian kotor dan tidak lagi pernah menyapu. Apa
yang mereka lakukan adalah meletakkan kaki sebelah di atas kaki lain sambil
menunggu datangnya majalah yang akan dibacanya atau sambil menonton acara tv
dan sebagainya. Bila suami meminta bantuan, maka dia akan berkata, “Ibn Hazm
mengatakan bahawa wanita tidak berkewajiban untuk membantu.” MasyaAllah!! Dia
wanita yang ‘pandai’!! ‘Pandai’ sekali!! Semoga Allah membantu lelaki yang
menikah dengan wanita yang ‘pandai’ ini!
Aku yakin bukanlah maksud pakcik menghina wanita, cumanya
pakcik ingin menegur aku ini, yang kadang kala terbawa dengan sikap ambil mudah
dan tidak acuh. Seolah – olah punya tugasan yang amat besar, tetapi sebenarnya
bila dibandingkan, apalah sangat yang pernah aku lakukan berbanding sahabat.
Pakcik menyambung lagi, bercerita tentang sahabat. Kata pakcik,
para sahabat dulu, mereka ini adalah orang – orang yang sentiasa siap. Aku menggambarkan,
kayaknya seperti pengakap muda dengan slogan mereka ‘Selalu Sedia’ atau
mahasiswa mahasiswi PALAPES. Pakcik menegur, “Tapi perajurit sekarang...
entahlah, mungkin mereka terlupa kenapa dan apa sebabnya mereka mengusung
senjata sambil menghentak – hentak kaki di tempat yang sama. Kenapa, nak
kemana, untuk apa?” Aku tertawa kerana teringat pernah bertungkus lumus belajar
dan berlatih kawad senjata. Berpanas, berhujan hingga hitam lengit muka tidak
kisah. Semua tu kerana untuk perbarisan hari kebangsaan atau pertandingan kawad
senjata kadet. Lagi? Entah, aku pun tak pasti.
Sahabat dulu tidak pernah berenggang dari senjata kerana
senjata adalah sebahagian dari kehidupan mereka. Mereka ni tak pernah
mengabaikan latihan peribadi mereka. Siapa yang tak boleh menunggang kuda? Siapa
yang yang tak pandai guna pedang dan tombak? Siapa yang tak boleh memanah? Semua
ni biasa bagi mereka, bahkan juga adalah kebiasaan bagi kaum wanita. “Kamu tahu
kaitan Ummu Sulaim dalam perang Hunain?” aku menggeleng.
An Nawawi kata Ummu Sulaim
adalah bibik susuan Rasulullah. Semasa perang Hunain, Rasulullah ternampak Ummu
Sulaim sedang memegang parang di tangan. Baginda bertanya kepada Ummu Sulaim, “Apa
tu Ummu Sulaim?” Jawab Ummu Sulaim, “Inilah parang yang akan aku gunakan untuk
membelah perut orang – orang yang lari meninggalkanmu ya Rasulullah!” Maka
Rasulullah berkata kepada Abu Thalhah, suami Ummu Sulaim sambil tersenyum, “Apakah
engkau mendengar apa yang dikatakan wanita bermata rabun ini?”
Pada fikiranku,
Ummu Sulaim sangat hebat. Walaupun sudah tua, masih mahu bersama ikut perang,
dan turut sedia mahu menghayunkan senjata. Dan ramai lagi sebenarnya sahabiah
yang pemberani seperti Ummu Sulaim ini.
Aku juga mahu menjadi seperti
mereka. Tidak takut dan gentar, dan sentiasa bersedia untuk memperjuangkan
agama ini. Juga, aku tidak mahu larut dalam leka dan kerehatan yang mematikan
ruh jihad ini.Ya, mungkin kadang kala
tanpa aku sedar, aku terhanyut oleh dugaan yang remeh dan kecil. Kerana, taufan
ribut lebih senang dikesan berbanding angin bayu yang bertiup sepoi – sepoi,
yang indah dan mengasyikkan. Terima kasih pakcik. Sungguh, aku adalah manusia
lemah yang sentiasa perlu diingatkan. Resah gelisahku tadi, ingin segera aku
padamkan. Sungguh, aku tidak merasakan aku sudah lebih banyak berjihad
berbanding para sahabat.
“Kita akan selalu mengenang dan bercermin kepada
mereka, kerana sungguh, kenangan itu adalah umur kedua manusia.” – Dr Akram
Ridha
» Post Comment
Only registered users can write a comment. Please login or register.
» 1 Comment
1"Terhibur..." at Saturday, 13 December 2008 10:33by ProfHussaini
Salam
AlhamduliLlah
Ana juga terhibur membaca karya ini
Masya-Allah
Terpesona apabila membayangkan suasana masyarakat islam ketika itu,
Indahnya pesona dunia,
Sedang kita masih berkemul di dunia kegelapan ini...