Lost Password? Register
  • Narrow screen resolution
  • Wide screen resolution
  • Auto width resolution
  • Increase font size
  • Decrease font size
  • Default font size
  • default color
  • red color
  • green color
Login & Register Here
Home arrow News arrow Content Category arrow Karya arrow Air Mata Seorang Naqib
Air Mata Seorang Naqib PDF Print E-mail
Written by admin   
Tuesday, 15 January 2008
Assalamu'alaikum...Hanya sekadar luahan isi hati dari seorang manusia bergelar NAQIB.. moga ikhwah akhawat dapat pengajaran.

 

(maaf.. ianya agak panjang).

 

AIRMATA SEORANG NAQIB….

 

Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula

bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati

ini selain melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar

baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki ke

sebuah pusat pengajian Islam. Memang ayah bonda

menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan

engkau menjadi orang yang terpelajar dan berguna

kepada mereka, kepada agama dan kepada negara.

Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama menjengah diri

melihat muka-muka kalian. Kalian adalah ibarat rahmat

kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat

ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami

ceritakan segala-galanya nanti!

Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan

minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang

ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat

berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian

bersolat jamaah dan berma’thurat sama-sama. Kalian di

dudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan

kaki ke malam terakhir pengenalan.

Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan

gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian

yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian

yang akan mewarisi jejak kami?

Memang kami mengentahui dan menyedari.. kalian datang

dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat

segulung sijil yang nantinya akan dipersembahkan

kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan

ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan

itu semua tidak langsung penting bagi kami.

Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita

sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi.

Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra.

Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam

pengalaman hidup kita?

Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh.

Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu

kepala. Kemudiannya tidur diatas lantar tanpa

hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan

yang mungkin sukar dilupakan.

Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan

cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi

untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami

fikirkan?

Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba

pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan

tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat

manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan

perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi

di masa terdekat.

Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik

untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami

adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan

dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi.

Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian..

disamping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan

ilmu.

 

Akhirnya …

Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian

menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk

bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta

kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin

memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah

memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas

segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.

 

Bermulalah satu episod baru dalam hidup kita. Mungkin

kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam

baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah

berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam

gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat

dunia berubah ke arah Islam.

Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini.

Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu

dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi

kalian telah berjaya menolak itu semua. Walaupun kawan

dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian

kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah

buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk

memahami Islam yang masih banyak yang perlu

dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita

TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana

masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu

semua.

Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk

asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di

mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri

bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang

sedang tidur di lantai bumi.

Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui

bersama kami !

 

Kami cuba memberi apa yang kami terdaya.

Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang

yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan

kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan

dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing

dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang

sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak

ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin

membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat

paling tinggi yang sepatutnya.

 

Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian

mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin

kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat

berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula

menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula

melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula

bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih

gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali

untanya yang hilang di padang pasir !

 

Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami

adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah

sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan

bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah

memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu

adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu

kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta.

Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana

susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya

harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami

terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk

kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi

yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya

telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat

fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan

isinya !

 

Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga

ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup

seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak

memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai.

Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung

minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang

untuk menikmati hari-hari perlancongan dan santai

tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan

kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat

demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang

akan menyelamatkannya?

 

Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami

untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya..

namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri.

Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan

kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita !

Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan

bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian

telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah

menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama

obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap

di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita

kami.

 

Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji

mahal. Kami tidak sanggup menjanjikan jawatan selepas

kalian keluar. Itu semua adalah suatu yang kerdil bagi

kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau bagaimana

keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu

semua ialah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam

kancah dunia yang sedang bergelumang dengan

materialisma yang tidak mampu diharungi oleh manusia

biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian

dengan kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami

mahukan kalian menjadi manusia yang akan membawa

manusia lain untuk bersama-sama dalam perjuangan kita

yang masih panjang.

 

Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami

bahawa apa yang kita buat ini bukan kerana tempat

belajar kita. Bukan kerana wajib atau ingin menjaga

hubungan dengan pensyarah. Bukan kerana markah atau

prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat

kalian dengan itu semua. Kami membawa kalian ke luar

sana… berjumpa dengan mereka yang telah mendahului

kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara..

berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua

adalah se jalan dengan kita.. berjuang menegakkan

fikrah yang sama!

 

Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah

ke garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan

tekun. Kalian langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan

bosan. Walaupun telah ada dikalangan kalian yang telah

kecundang setelah beberapa lama, namum kalian masih

thabat teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita

perlukan disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan

jamaah dan ketaatan. Kerja kita perlukan syura dan

perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah begitu

lama memimpin tangan kita sejak kita masih

bertatih-tatih di permulaan perjalanan. Kerja kita

memerlukan kita tidak putus dan bersama dengan jamaah

di mana saja kita berada.

 

Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati

kami melepaskan kalian menuju ke destinasi

masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk

mendengar deringan telefon dari kalian.. menceritakan

pengalaman baru kalian di kampung dan kawasan

masing-masing.. setelah mendapat title baru bergelar

‘DA’I’. Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan

dari kalian .. bercerita bagaimana kalian telah mula

mengumpul mad’u-mad’u baru ditempat kalian. Betapa

gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula ke

sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan

akhawat di tempat baru kalian. Kami tidak dapat

bayangkan bagaimana gembiranya hati kami bila

mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji

kesungguhan dan semangat yang kalian tunjukkan. Ketika

itulah kami akan mengurut dada gembira… airmata kami

berlinangan kegembiraan.. betapa tanaman kami telah

menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian

bersama tidak sia-sia !

 

Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan

kesibukkan melayan adik-adik kalian yang terus tiba

semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis

kepada kalian. Mereka bersemangat untuk meneruskan apa

yang telah dilakukan oleh kalian. Mereka masih ingat

ketika kalian bersama-sama mereka di usrah, tamrin,

dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah

yang mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit

sebanyak. Kami terus membantu mereka sekadar kemampuan

kami ini.. agar mereka menjadi seperti kakak-kakak dan

abang yang telah tamat belajar.

 

Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk

warkah atau sedering telefon… atau sepatah salam dari

musafir yang pulang. Namum bayangan masih kelam.

Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati

kami mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada

anak-anak kami yang telah pergi?

Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau

kepada ikhwah dan akhawat yang berjiran.. dimana

anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si

anu? Jawapan negatif membimbangkan kami tentunya.

 

Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi

kami.. cukuplah tempoh yang bernama bulan untuk

menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati

kita sentiasa di intai syaitan. Tidak ada manusia yang

boleh mendakwa dia akan kuat tanpa jamaah. Tidak akan

ada kambing yang tidak keseorangan yang tidak di makan

serigala bila keseorangan.. kerana memang serigala ada

di mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang

ketajaman sensitif terhadap matlamat kita. Kita sudah

boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan

perjuangan kita. Suatu yang begitu membara di dalam

hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan

tinggal dingin.

 

Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian…

jika ketika berpisah kami menjangkakan kami akan

menitiskan airmata kegembiraan mendengar ketangkasan

dan keaktifan kalian… tetapi … titisan sebaliknya mula

mengalir..

Apa yang telah terjadi kepada kalian?

Apa yang telah kalian lakukan?

Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami

tidak dapat menahan air mata lagi. Bersama baris-baris

yang keluar… kami iringi dengan cucuran yang tidak

dapat ditahan..!

 

Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu

cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah

berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih

panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan

telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan

yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam

dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di

hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan

menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama

mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi

pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.

 

Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin

terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang

merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya..

suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya

selama ini, itu semua adalah sebuah lakunan.

Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi

bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah

penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah

bebas.

 

Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa

kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin

kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua..

tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira

kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami

itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba

berlaku?

 

Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang

paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian

telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami

berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk

untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan

untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana

sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping

sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita

pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan

tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan

diri untuk dipanggil anak derhaka?

Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si

anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima,

mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian

kertas ditinggalkan.. mungkin dakwat pena terlalu

berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar

dengan hiba dan air mata mengalir lagi.

 

Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka

terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka

sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan

mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka…

mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum

setelah berjaya .. sepatah perkataan pun tidak

didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan.

Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang

dicampakkan ke tong sampah!

 

Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari

kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang

ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami

akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah

masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul

tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit

sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya

agar ada tenaga baru untuk Islam.

Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada

pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan

dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian

telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai

sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian

menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah

tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu

adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji

untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut

janjiNya dari kalian.

 

Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula

terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang

yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa

tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung

dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan

kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian

telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja

Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerja

besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan

jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib

dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula

membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan

dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri

kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam

kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah

bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?

 

Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan

berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan

wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti

kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu

mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian.

Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak

yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam!

Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan

dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak

derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan

dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan

dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan

curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik

tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua

hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah

mudah berangan dan berazam!

 

Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih

berat dari bebanan tugas ke sana ke mari mengendali

program dan mendidik kalian. Apa sangat berat berjaga

malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan

mendengar masalah kalian jika hati kami gembira

melihat hasilnya. Apa sangat itu semua jika hati

bahagia melihat kalian menjadi orang yang akan

mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan

beban hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat

kalian telah menerangkan bumi yang gelap seluruh

pelusuk bumi.

 

TETAPI… sekarang kami telah kehilangan segala-galanya.

Ketenangan yang kami ingin cari melalui pengorbanan

ini telah juga hancur. Bahkan ianya lebih berat dari

bebanan fizikal dan material. Kami telah melalui

beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya

menyimpulkan kepada kami bahawa kami hanyalah manusia

tak berguna dan pengganggu dalam hidup kalian.

Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha

mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah

ada… Apakah kalian sedar?

 

Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah

kalian dengan sijil yang telah diperolehi dari sini

untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah

hidup demi mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui

jalan yang kalian pilih sendiri. Kami tetap memilih

ketenangan dan kebahagian melalui jalan kami sendiri.

Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya

akan menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah

yang menyebabkan kalian jadi begitu. Mungkin kami

belum memberikan yang terbaik untuk kalian. Mungkin

kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami

korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!

 

Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak

mengharapkan kepada kalian lagi. Jika kalian mahu

terus hidup sebagaimana manusia lain… teruskanlah.

Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh

berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan

kami dan kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan

kalian untuk hidup. Dakwah adalah satu yang kuat dan

kukuh kerana ia berhubung dengan Allah Yang Maha

Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh

bersama orang lain jika kita enggan. Tatapi apa

ertinya hidup kita tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa

dan roh kita. Jika kita berpisah darinya…. Kita

sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat

bunga yang telah dipetik dari pokoknya !

 

Tinggalkanlah kami menangisi anak-anak yang telah

pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih sayang

yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak

seindah dunia yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta

itu dikutip oleh manusia lain yang tahu menilainya.

 

Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta

kami tidak bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu

murah. Kami berkorban untuk kalian lebih dari anak dan

saudara kami sendiri, kerana bagi kami tali akidah dan

fikrah lebih kukuh dan erat dari tali kekeluargaan.

Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging

dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang

kami ada. Kerana kami tahu.. kalian adalah penerus

generasi da’I yang hampir pupus. Apakah kalian tidak

merasainya?

Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal

untuk kalian. Kami tidak membelikan pakaian indah

untuk kalian. Tetapi apa erti makanan dan pakaian jika

kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah..?

Hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia

sebenarnya ialah yang merasai kecintaan yang diberikan

kepadanya walaupun sebentar".

Berapa lamakah kecintaan yang telah kami berikan

kepada kalian… apakah kalian tidak merasainya?

 

Kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami

buat-buat untuk mengubat rindu kepada kedamaian

semalam yang telah tiada lagi. Senyuman untuk

menandakan kami masih mampu berlakun dengan hati yang

telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami,

hulurkan tangan kalian untuk kami salami…. Tetapi hati

ini tidak mungkin terubat tanpa penghayatan dan

penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa

kita di sini!

 

Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami

dan merasai cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai

kekasih lain… pergilah.. semoga kekasihnya akan

memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami…

di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.

 

Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian

lakukan, maka bersedia kalian untuk menerima sahamnya.

Kalian telah mengecewakan kami sedikit sebanyak.

Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya lagi

kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami

merasakan sudah tidak wujud lagi harapan di dunia ini.

Apa tidaknya.. keseluruhan anak-anak kami tidak dapat

meneruskan usaha kami? Jika itu yang berlaku kepada

yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?

 

Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan.

Moga adik-adik kita di sini dan di luar sana dapat

menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita

sama-sama tidak ingin padam.

 

 

Wassalamu’alaikum.

CATATAN SEORANG NAQIB YANG HINA.

» Post Comment
Only registered users can write a comment.
Please login or register.
» 20 Comments
1Comment
at Sunday, 11 May 2008 16:17by sarah
salam.. 
saya minta maaf kerana copy cerita anda ini untuk dipamerkan dalam blog ukhwah tanpa memberitahu terlebih dahulu.. 
semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada pelbagai pihak..
2"tangisan"
at Friday, 16 May 2008 07:14by xiao yu
salam... 
tangisan seorg da'e??? 
ana masih tertanya2...mcm ada bunyi kesal d blik crita ni 
well..petamanya..ini pesanan buat ana dulu 
seterusnya shabat2 da'e yg slalu brsedih 
enjoy ape yg kita wat 
ilmu,dan sume yg kt infa' kan ni bkn milik kita 
kt cme pinjam 
hidayah milik Allah.. 
jgn menangis 
tp tersenyumlah... 
sbb saat ini malaikat jg tersenyum kpd kita... 
optimist slalu...=)
3Comment
at Monday, 19 May 2008 11:59by .....tafawwuq.....
salam, 
subhanallah,besarnye jasa seorang murabbi, 
hanya Allah yang layak membalasnyer, 
x mengharapkan ape2 melainkan redho Allah dan kemandirian dakwah yg x akan pupus... 
jzkk,arikel yg2 benar2 m'getarkan jiwa insan yang pernah merasai layanan istimewa seorang dae'
4"miss"
at Wednesday, 18 June 2008 03:01by nurul
salam.. syukran... :-).. (artikel ni akan saya share dgn sahabat2 saya)...
5"assalamualaikum..."
at Friday, 20 June 2008 11:49by dayah
saya memandangkan cerita ini sebagai luahan ; naqib seorang manusia bukan malaikat...dan manusia ini telah menginsafkan..insyaAllah semoga terus terthabat di jalan ini..Lets Dakwah, Jom Tarbiyyah!!!
6"syahadatul Haq"
at Tuesday, 24 June 2008 14:02by KITA
yaALLAH..artikel yang membuatkan sy menangis sendiri...semoga perjalanan dan perjuangan ini memberi kekuatan kepada kita...semoga risalah yang kita bawa ini memberi sesuatu kepada mereka...semoga perjuangan ini dibawah redhaNYA... 
 
syahadatul haq...saya terus menangis..menangisi setiap bait kata-kata dlm artikel ini...semoga reunion di syurga nnt..insyaALLAH... 
 
\\\"kamilah pembela-pembela agama ALLAH\\\" [as-saff:14]
7"...seorg naqib"
at Wednesday, 02 July 2008 15:31by wan...
maaf..ana tertarik degn kisah ni....ana mohon kebenran untk copy untuk simpanan peribadi ana dan utk berkongsi besama shbat lain...
8"Salam"
at Saturday, 02 August 2008 14:10by Iqbal Hakim
Manusia tak lari dari sifat lupa, gembira, sedih, marah... etc. 
 
Somehow, kekuatan yang sebenar datangnya daripada Allah S.W.T. 
 
pandangan ana, memang layak berasa sedih dengan apa yang berlaku... 
 
Namun yakinlah dengan janji-janji Allah S.W.T. 
 
Kata Ustaz Rusdi, "Hidup bersandarkan kepada Allah S.W.T., hidup yang hakiki" 
 
Hence, berdoalah agar sekalian umat manusia mendapat hidayah Allah S.W.T. 
 
=) 
 
Kita tidak berseorangan... InsyaAllah
9"ikhwah7n2"
at Sunday, 03 August 2008 09:53by hakimi
terima kasih atas artikel ni ana merase sgt terase dlm hal ini..  
terima kasih ana ulangi ana harap diri ini dpt kembali mmegang panji2 islam  
& berterusan dlm jamaah.. 
syukran ala hazihi risalah 
moge yg membacenye akan terus berpegang teguh pade jemaah islam hatta  
dia sudah berkerjaya hatta sudah berumah tangga atau masih seorg student.. 
moge2 kite semua setia dlm jemaah..
10"re:Airmata Seorang Naqib"
at Monday, 18 August 2008 00:13by hanisah
bismillah, ana meminta izin untuk copy+edit dan dipost... 
namun tetap diletakkan sumber aslinya... 
 
 
last-last karya ni macam ada bunyi kekesalan je... 
 
begitulah tugas kita.Manusia hanya mampu merancang, berusaha, berdoa dan bertawakal 
 
namun, Natijahnya Allah jua yang menetapkan... 
 
perlu diingat dalam kita seronok mengajak 
jangan kita lupa hati manusia itu ada yang tutup dan buka ia 
 
dalam doa.... 
 
jangan kita lupa untuk mendoakan mad'u-mad'u kita,anak-anak usrah kita.... 
 
wallahu a'lam
11"assalmmualaikum.."
at Tuesday, 19 August 2008 09:08by hasy
luahan dari hati akan sampai ke hati..berapa ramai antara kita,yang menjalankan tugas sebagai nuqaba memandang sipi soal kebajikan ahli..bagi kita cukup sekadar mentelaah bersama menghabiskan silibus,belanja makan,kita beranggapan kita telah menjalankan tugas sebaiknya..berapa ramai antara kita berdiri dengan proksi sebagai nuqaba tapi langsung tiada ruh seorang naqib..berapa ramai antara kita yang sedar usrah adalah medan tarbiyah,pengikat kesatuan kita,lubuk melahirkan tentera2 Muhammad!!!!
12"......"
at Wednesday, 20 August 2008 10:02by muhsin
kita berada dlm keadaan yng sama 
 
ingatlah cerita nabi Nuh.. 
 
Allah telah berfirman kpd Nabi Muhammad - sesungguhnya bukan kamu yang memberi hidayah kepada org yg kamu suka, Tetapi Allahlah yang yang memberi hidayah- 
 
Kita dah berusaha.. itu yang terbaik 
-Jika kamu berazam(brusaha) , bertawakkallah kpd Allah
13"Thanks a LOT"
at Saturday, 30 August 2008 22:36by Syahadatain92
Trima ksh byk2 d ats artikel yg amt myntuh. An jg seorg Naqib sprti nta & entum. Mmg ktalah org p'tama yg akn m'nangis bila m'dpt tahu anak2 yg slama ini an ddk m'jd seorg PEROKOK. An x rsa kcewa dgn anak2 an, tp an kcewa dgn dri an sndri. Sibk m'bentuk org lain sdgkn dri sndri x t'bentuk. Anyway artikel ini kmbli m'ngaskn Hadaf ana sndri & m'brikn hrpn kpd an bhw hdup seorg da'ie mmg mcm2. Sbnrnya, ana sndri b'rsa mcm pnlis tp x t'ugkp dek kta2. An copy ye?.... http://syahadatin92.blogspot.com/
14Comment
at Friday, 26 September 2008 16:20by afifah
sgt mnyentuh hati..luahan ini sering ku dengar...ia..mnambah pilu dhati..perasaan sedih itu adalah haknya..tp mungkin bkn utk myatakn kesal tp supaya yg dicintai itu mngerti dan mmahami..
15"Syukran.."
at Thursday, 23 October 2008 13:43by fakir muhammad
Assalamualaikum. 
1. Syukran untuk artikel yang menyentuh hati ini. 
2. Ana juga mempunyai pengalaman yang sama, yang berbeza mad'u2 ana belum lagi menggalas tugas dai'. 
3. Kepada semua, doakan semoga ana, mad'u2 ana dan kita tsabat di jalan ini. 
4. Mohon kebenaran untuk mengambil artikel ini untuk blog ana. Sumber asal akan dinyatakan. 
5. Syukran sekali lagi. 
6. Semoga dikurniakan kekuatan hikmah dan fikiran untuk perjuangan ini. Amin. 
Wassalam.
16"kesedaran dihati..."
at Friday, 07 November 2008 13:47by syaz
salam...terima kasih diatas coretan anta yang cukup menarik(sedey)...dan terima kasih juga diatas perjuangan anta utk meneruskan agama islam agar semua usaha yg tlh kita lakukan diredhai ALLAH....
17"Assalamualaikum"
at Friday, 07 November 2008 16:37by Aziz
Subhanallah, begitu tajam coretan mata pena anda.. Teruslah berjuang, bukankah anda menulis \\\"Hasilnya belum tentu diperolehi di masa terdekat.\\\" Hanya Allah yg layak membalasmu...Jika mereka tersilap, jgn salahkan mereka tanpa menunjukkan jalan yg benar.. Semoga kami mendapat hidayah melalui penulisanmu...
18"kesali"
at Sunday, 16 November 2008 01:56by wardatulislami
kami tidak mengharapkan simpati,tapi sekadar memahami.. 
wahai muda mudi,apakah salah kami sehingga kami ditolak ke tepi? 
sukarkah utk kamu mengerti,bahawa ini tugas dari Illahi.. 
ianya bkn utk diacah sana sini.. 
mengertilah wahai insani!
19Comment
at Friday, 28 November 2008 02:03by ibnu ahmad
Assalamualaikum... 
minta izin utk ana copy + edit artikel ini.Ana akan nyatakan sumber artikel ini. 
sebuah "catatan" yg menyentuh hati.....
20"Komen.."
at Saturday, 06 December 2008 11:00by Hazim Azhar
Ya Allah.. Saksikanlah air mata yang mengalir tatkala catatan ini kubaca.. 
 
Semoga Allah melimpahkan rahmat kasih sayang kepada naqib2 ku.. 
 
Insyaallah..
Last Updated ( Thursday, 01 May 2008 )
 
< Prev   Next >