Sistem pendidikan negara, sedari dulu
lagi, sering menjadi polemik dikalangan ahli politik, pemikir, ahli akademik
dan pemimpin mahasiswa. Tidak kurang juga hal ini dibincangkan di peringkat
rakyat terbawah (semestinya yang kritikal dan peka).
Antara yang menjadi polemik ialah isu
bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah vernacular dan inggeris
(yang kemudiannya dikebangsaankan), isu polarisasi kaum dan akhir sekali isu
pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI).
Selepas
diajukan oleh seorang teman untuk menulis artikel ini, penulis sedar bahawa
perkara ini amat jarang disinggung oleh mana-mana pihak. Kalau terbit pun di mana-mana
akhbar atau majalah, ianya bersifat terpencil dan tiada kesinambungan. Mungkin
masyarakat menganggap perkara ini, yakni kelas satu jantina hanyalah satu
bentuk ‘genre’ dalam system pendidikan negara.
ii
Di Malaysia, kelas
satu jantina hanya diamalkan di sekolah-sekolah elit berasrama penuh seperti
Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Tunku Kurshiah dan sebilangan kecil
sekolah harian.
Penulis
percaya, kecemerlangan sekolah-sekolah ini saban tahun , selain daripada faktor
tradisi, guru dan pelajarnya, turut dibantu oleh system kelas satu jantina. Ini bukanlah kata-kata
kosong yang semberono. Ini ialah kata-kata ini didokong dengan fakta.
Pada tahun 2007, Dr. Leonard Sax, Pengarah Eksekutif
National Association for Single Sex Public Education (NASSPE) dan juga seorang
ahli psikologi telah membuat kajian mengenai perbandingan antara system kelas
konvensional (co-education) dengan system kelas satu jantina bagi pelajar gred
4 di Woodward Avenue Elementary School, Florida.
Laporannya yang bertajuk ‘Single-Sex vs. Coed: The Evidence’menyatakan
sebanyak 86% daripada pelajar lelaki dan 75% daripada pelajar perempuan yang
mengikuti kelas satu jantina mencapai tahap proficient
dalam peperiksaan FCAT (Florida Comprehensive Assesment Test)berbanding 37% daripada pelajar lelaki
dan 5% sahaja daripada pelajar perempuan yang mengikuti kelas konvensional.
Penulis sendiri agak
terkejut semasa membaca laporan ini. Jurang peratusan
peperiksaannya amat besar! Tetapi, system ini bukanlah mengenai peratusan
markah dan bilangan A semata-mata. Sistem ini juga berjaya menjadikan suasana
pembelajaran menjadi lebih selesa dan menyeronokkan.
Dalam satu temubual rawak yang dijalankan majalah Reader’s Digest dengan
pelajar yang mengikuti system ini mendapati pelajar perempuan boleh menumpukan
sepenuh perhatian di dalam kelas dan tidak lagi malu untuk mengangkat tangan
bertanya. Pelajar lelaki pula menyatakan pembelajaran menjadi lebih pantas dan
tugasan berkumpulan adalah lebih mudah tanpa pelajar perempuan. Guru-guru juga
melahirkan rasa senang hati apabila kehadiran pelajar lelaki semakin bertambah.
Pelajar-pelajar ini juga sudah jarang mengangkat tangan meminta time out!
Pelajar juga
tidak lagi perlu memikirkan perkara-perkara remeh, persepsi pelajar lain
misalnya. Sebagai contoh, pelajar lelaki tidak lagi perlu memikirkan cara untuk
menarik perhatian dan dikagumi pelajar perempuan. Ianya memang kelihatan
seperti memandang rendah daya intelek pelajar, dan tentulah bukan semua pelajar
bersikap begini, tetapi inilah yang sentiasa berlaku. Robert Kennedy, dalam
artikelnya The Pendulum Has Swung
mengatakan, “Boys have
always felt a need to impress girls in the classroom. Girls usually feel as
though the boys are always teasing them. Surely there is enough time in college
and in later life to deal with social and other kinds of intercourse”. Hal ini turut dinyatakan dalam majalah
Reader’s Digest (dalam satu temu bual rawak yang sama).
Pengalaman singkat penulis sebagai
sukarelawan di sebuah pusat tuisyen percuma juga memberi kesedaran. Penulis dan
beberapa lagi sukarelawan ditempatkan di kelas darjah 6. Bagi menangani masalah
keragaman pelajar-pelajar ini, kumpulan pelajar telah dibentuk berdasarkan
jantina mereka. Pelajar perempuan yang lebih banyak bertanya mendapat guru yang
lembut dan berkemahiran memberi penjelasan, manakala pelajar lelaki yang yang
kebiasaannya agak nakal dan playful diserahkan
kepada guru yang agak tegas dan bijak mengawal keadaan.
Akhirnya
perjalanan kelas menjadi lebih teratur. Pembelajaran menjadi lebih lancar dan
tiada lagi rungutan tidak puas hati pelajar. Rupa-rupanya, kami telah
melaksanakan system kelas satu jantina, walaupun secara tidak sedar!
iii
Namun adakah boleh kita sewenang-wenangnya mengandaikan kecemerlangan
dapat ditingkatkan dengan hanya mengasingkan kelas perempuan dan lelaki?
Tentulah tidak. Sistem ini tidak dipraktikkan dengan sendirian. Ianya menuntut
beberapa keperluan lain yang perlu dilaksanakan dan dipenuhi.
Dalam satu temubual, Dr. Sax menganjurkan beberapa syarat dan criteria
bagi pelaksanaan system ini. Secara umumnya, guru-guru yang ditugaskan
hendaklah terbukti berkemahiran dalam metode pengajaran satu jantina. Tambahnya
lagi, pembabitan ibubapa secara langsung juga diperlukan bagi menjamin kejayaan
system ini.
Selain itu, suasana bilik belajar haruslah bersesuaian. Pendek kata,
segala hal yang yang berkaitan seperti cara komunikasi guru, pendekatan dan
suasana pembelajaran mestilah bersesuaian dengan jantina sasaran.
Manusia diciptakan oleh Allah swt dengan fitrah semula jadi. Perempuan
dan lelaki masing-masing mempunyai ciri dan dinamika tersendiri dan juga saling
melengkapi. Perempuan secara UMUMnya berperawakan lebih lembut dan santun.
Lelaki KEBIASAANnya pula lebih agresif. Walaupun ada pihak mendakwanya sebagai
satu gender stereotype, tapi ini
ialah hakikat yang sukar disanggah. Istilah ‘feminin’ dan ‘maskulin’ wujud
disebabkan ini lah!
Oleh itu, cara-cara untuk berinteraksi dengan kaum Hawa semestinya
berbeza jika dibandingkan dengan kaum Adam. Menggunakan cara perantaraan adam
semasa berinteraksi dengan hawa, kalau berjaya sekalipun, tentulah gagal
meninggalkan kesan yang mendalam. Dengan penjelasan inilah, system kelas satu
jantina wujud dengan penuh relevan, sekurang-kurangnya sebagai alternative
kepada system kelas konvensional yang sedia ada.
» Post Comment
Only registered users can write a comment. Please login or register.
» 3 Comments
1"mr." at Friday, 12 December 2008 16:10by abdul rashid
sokong sangat. cuba dulu baru tahu. cemerlang bukan saja dari segi akademik apa yang lebih penting akhlak.
2Comment at Monday, 29 December 2008 13:34by NaQDin
btul tu.. ana sokong brdasarkan pnglmn ana sendri.. kerajaan patut mmpertimbangkn hal ni trima kasih kpd yg mnulis...
3"Sistem Kelas Satu Jantina" at Saturday, 03 January 2009 14:12by muasaf
kerajaan negeri Kelantan dah lame buat sistem satu jantina nih tapi hanya sekolah dbawah yayasan islam kelantan je..iaitu sekolah ugama (arab) n maahad muhammadi.